AL-QURAN DAN SAINS MODEN - Siri 6
>> Wednesday, December 30, 2009
TERJEMAHAN BUKU
AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN
Oleh : Zakir Naik
AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN
Oleh : Zakir Naik
IV. GEOLOGI (ILMU KAJIBUMI)
GUNUNG-GANANG SEBAGAI PASAK
Dalam bidang geologi, fenomena ‘lipatan’ (folding) adalah satu fakta yang baru ditemui. Fenomena lipatan ini yang menyebabkan terbentuknya banjaran-banjaran pergunungan. Lapisan kerak bumi , yang mana di atasnya kita menjalani kehidupan, adalah umpama lapisan kerangka luar yang padat (solid shell). Manakala lapisan-lapisan yang di bawahnya adalah panas dan berbentuk cecair, dan tidak boleh di diami oleh sebarang kehidupan. Adalah diketahui bahawa kestabilan gunung-ganang berkait rapat dengan fenomena lipatan, yang mana lipatan ini menjadi asas kepada paras tinggi dan paras rendah pergunungan tersebut.
Ahli Geologi menerangkan kepada kita bahawa ukuran jejari bumi kira-kira 3,750 batu, dan lapisan kerak bumi yang kita diami di atasnya ini sangat nipis yang ketebalannya di antara 1 hingga 30 batu. Oleh kerana lapisan kerak ini sangat nipis , kemungkinan baginya untuk mengalami gegaran adalah tinggi. Gunung-ganang bertindak sebagai pasak atau pancang yang mengukuhkan lapisan kerak bumi dan memberikannya kestabilan. Al-Qur’an mengandungi keterangan yang tepat mengenai perkara ini dalam ayat yang berikut:
أَلَمْ نَجْعَلِ الْأَرْضَ مِهَادًا . وَالْجِبَالَ أَوْتَادًا
Bukankah Kami menjadikan bumi (sebagai) hamparan, dan gunung-ganang (sebagai) pasak ( An-Naba’ : 6 – 7)
Perkataan autad bermaksud pancang atau pasak ( seperti yang digunakan sebagai pengukuh untuk mendirikan khemah), dan ia adalah tunjang asas yang dalam bagi lipatan-lipatan geologi.
Sebuah buku bertajuk “Earth” , menjadi buku rujukan asas mengenai geologi di kebanyakan universiti di dunia. Salah seorang pengarang buku ini iaitu Frank Press, pernah menjadi Presiden Akademi Sains Amerika Syarikat selama 12 tahun dan Penasihat Sains kepada bekas Presiden Amerika Syarikat , Jimmy Carter. Dalam buku ini ia menggambarkan gunung-ganang seperti bentuk baji/penyendal dan gunung-ganang itu sendiri menjadi satu bahagian kecil dari keseluruhannya, yang mana akar-umbinya terbenam jauh ke dalam tanah. Menurut Dr.Press, gunung-ganang memainkan peranan yang penting dalam menstabilkan lapisan kerak bumi.
Al-Qur’an menerangkan dengan jelas fungsi gunung-ganang dalam mengelakkan bumi dari mengalami gegaran:
وَجَعَلْنَا فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَن تَمِيدَ بِهِمْ
Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang (yang kukuh) supaya (tidak) (bumi) bergoncang dengan mereka….( Al-Anbiyaa’ : 31)
GUNUNG-GANANG TETAP BERDIRI TEGUH
Permukaan bumi ini di pecahkan kepada banyak kepingan lapisan yang keras/tegar, dengan ketebalan kira-kira 100 km. Kepingan-kepingan lapisan ini terapung di atas suatu bahagian dalam bumi yang berbentuk separa cecair dengan suhu yang sangat tinggi (partially molten region), yang dipanggil sebagai ‘aesthenosphere’.
Pembentukan gunung-ganang berlaku pada bahagian sempadan kepingan lapisan. Lapisan kerak bumi adalah setebal 5km di bawah lautan, kira-kira 35km tebal di bawah permukaan rata benua, dan hampir 80km tebal di bawah banjaran pergunungan yang besar. Ianya menjadi asas yang teguh bagi gunung-ganang. Al-Qur’an menerangkan tentang asas gunung-ganang yang teguh ini dalam ayat yang berikut:
وَالْجِبَالَ أَرْسَاهَا
Dan gunung-ganang Dia mengukuhkannya (An-Naazi’aat : 32)
Keterangan-keterangan yang sama juga terkandung dalam ayat-ayat Al-Qur’an berikut : Al-Ghaasyiyah:19, Luqman:10, dan An-Nahl :15
0 comments:
Post a Comment