AMALAN SUNNAH SEBELUM TIDUR - SIRI 2
>> Monday, December 21, 2009
AMALAN-AMALAN SUNNAH NABI MUHAMMAD SAW SEBELUM TIDUR DI WAKTU MALAM
(6)
Tasbih 33 Kali, Tahmid 33 Kali, Takbir 34 Kali
Sabda Nabi Muhammad SAW kepada Ali RA dan Fathimah RA (yang juga perintah ini kepada ummat seluruhnya) sebagimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, ad-Darimi:
إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا فَسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِيْنَ وَاحْمَدَا ثَلاَثًا وَثلاَثِيْنَ وَكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلاَثِيْنَ
Maksudnya: Apabila kamu berdua berada ditempat tidur maka bertasbihlah 33 kali, bertahmidlah 33 kali dan bertakbirlah 34 kali.
(7)
Membaca Doa Tidur
Berdasarkan hadith riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam 'Amal al-Yaum Wa al-Lailah):
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ قَالَ: بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوْتُ
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW apabila masuk tidur Baginda membaca:
بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوْتُ (Dengan namaMu Ya Allah aku hidup dan mati)
(8)
Tidur Diatas Lambung (Rusuk) Kanan Dengan Meletakkan Tangan Kanan Dibawah Pipi
Ini berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari dari al-Barra' bin 'Aa-zib RA katanya:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ (ص) إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ نَامَ عَلَى شِقِّهِ اْلأَيْمَنِ
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW apabila masuk tidur Baginda tidur atas lambungnya yang kanan.
Dan dalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasai (didalam 'Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu as-Sunni dari Hafshah RA katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila hendak tidur, meletakkan tangan kanannya dibawah pipinya kemudian membaca sebanyak tiga kali:
اللَّهُمَّ قِنِى عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ
Maksudnya: Ya Allah, peliharalah aku dari azabMu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu.
(9)
Membaca Surah al-Kaa-firun
Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam 'Amal al-Yaum Wa al-Lailah), ad-Darimi, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu as-Sunni:
إِذَا أَخَذْتَ مَضْجَعَكَ فَاقْرَأْ ((قل يا أيها الكافرن)) ثُمَّ نَمْ عَلَى خَاتِمَتِهَا فَإِنَّهَا بَرَاءَةٌ مِنَ الشَّرْكِ
Maksudnya: Apabila kamu berbaring ditempat tidurmu maka bacalah "al-Kaa-firun" kemudian tidurlah diatas penyudahnya kerana sesungguhnya ia adalah perlepasan dari syirik.
Keterangan: Maksud "Tidurlah diatas penyudahnya" ialah tidak bercakap/berkata-kata lagi setelah selesai membaca surah tersebut hingga lelap mata.
(10)
Tidur Dalam Keadaan Suci (Berwudhu')
Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ibnu Hibban:
مَنْ بَاتَ طَاهِرًا بَاتَ فِي شِعَارِهِ مَلَكٌ , فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ إِلاَّ قَالَ الْمَلَكُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِكَ فُلاَنٍ فِإِنَّهُ بَاتَ طَاهِرًا
Maksudnya: Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, tidur pada pakaiannya malaikat. Maka ia tidak bangun (ketika terjaga) kecuali berkata malaikat (berdoa): "Ya Allah berilah keampunan kepada hambaMu sifulan (disebut nama oleh malaikat dalam doanya ini) kerana sesungguhnya ia telah tidur dalam keadaan suci.
Keterangan: Sebagai makluman kepada muslimin/muslimat bahawa apa yang disebut oleh Penulis diatas merupakan sebahagian dari amalan-amalan yang terdapat didalam sunnah Nabi Muhammad SAW untuk dilakukan sebelum tidur. Sebenarnya masih banyak lagi amalan yang diriwayatkan daripada Baginda SAW mengenai perkara ini. Penulis mengambil sebahagian daripadanya sebagai "Targhib" (galakan) untuk muslimin/muslimat membiasakannya.
Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri
Daftar Rujukan:
1) Kitab-kitab hadith yang disebut periwatannya diatas.
2) al-Azkar, Yahya bin Syaraf an-Nawawi.
3) Fiqh as-Sunnah, as-Sayyid Saa-biq.
0 comments:
Post a Comment