وَأَنَّ هَـذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
dan bahwa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), karena jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa (al-an'Aam 6:153)

TAZKIRAH

>> Sunday, January 31, 2010

ADAKAN DINDING DENGAN API NERAKA


Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayar at-Thobaraa-ni:

اجعلوا بينكم وبين النار حجابا ولو بشق تمرة

Maksudnya: Adakan hijab/dinding antara kamu dengan api neraka walaupun bersedekah dengan separuh buah tamar.

Wahai hamba-hamba Allah, ambillah peluang ini dengan memperuntukkan sebahagian dari harta pemberian Allah SWT untuk manafaat kita diakhirat kelak. Bersedekahlah……………

Read more...

KULIAH KITAB IMAN - Siri 3

>> Saturday, January 30, 2010

Oleh Ustaz Ibrahim Mohd.Raja Al-Maniri


Sambungan: BERIMAN KEPADA ALLAH
BAHAGIAN KEDUA : TAUHID ULUHIYYAH

Beriktikad dengan jazam bahawa Allah adalah Tuhan yang sebenar, tiada Tuhan selainNya dan Dialah Tuhan yang mesti diEsakan dalam beribadat.
Kalimah syahadah لا إله إلا الله (Tiada Tuhan yang layak disembah/diibadahi melainkan Allah) mengandungi ketiga-tiga bahagian Tauhid, kerana syahadah ini adalah Tauhid Uluhiyyah. Dan Tauhid Uluhiyyah ini mengandungi tauhid bahagian Rububiyyah dan Tauhid Asma’ Wal-Sifat.

Oleh itu Tauhid Uluhiyyah ini adalah awal-awal dasar agama dan penghabisannya(mati), batinnya dan zahirnya. Berdasarkan Tauhid bahagian inilah diciptakan sekelian alam (Adz-Dzaariyaat:56), dan diutuskan Rasul-Rasul dan diturunkan kitab kepada mereka (An-Nahl:36).Tauhid inilah yang membedakan di antara para Muwahiddin (golongan yang mengEsakan Allah) dengan golongan musyrikin (golongan yang mensyirikkan Allah).

Tauhid Uluhiyyah menuntut kita supaya bertawajjuh (mengadap) kepada Allah dalam setiap ibadat, dan membersihkan hati daripada terikat dengan pihak atau pengaruh lain.

Dua kalimah syahadah mengandungi syahadah Tauhid dan syahadah Risalah. Tauhid kepada Allah mesti ada kesetiaan/tunduk patuh kepada perintahNya dan melepas diri dari Taghut (An-Nahl :36). Syahadah Risalah adalah mengakui hanya Nabi Muhammad SAW mempunyai autoriti dalam menentukan jenis dan cara ibadat.

Untuk mengikuti kuliah di atas sila klik di sini.

Read more...

AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN - Siri 14

>> Friday, January 29, 2010


TERJEMAHAN BUKU
AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN
Oleh : Zakir Naik

MANUSIA DIJADIKAN DARI SATU TITISAN YANG DIKELUARKAN DARI BAHAGIAN ANTARA TULANG BELAKANG DAN TULANG DADA

فَلْيَنظُرِ الْإِنسَانُ مِمَّ خُلِقَ . خُلِقَ مِن مَّاء دَافِقٍ . يَخْرُجُ مِن بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ
Maka hendaknya memerhatikan (oleh) manusia dari apa dia diciptakan. Dia diciptakan dari air (mani) yang terpancar. Ia keluar dari antara tulang sulbi (tulang belakang) dan tulang dada. (Ath-Thaariq : 5-7)

Pada peringkat embrio, organ-organ pembiakan lelaki dan perempuan, iaitu testis dan ovarium, pertumbuhannya bermula berhampiran buah pinggang di antara tulang belakang dan tulang dada kesebelas dan keduabelas. Selepas itu ia akan berganjak; gonad perempuan (ovarium) berhenti di pinggul (pelvis), manakala gonad lelaki (testis) terus berganjak sebelum kelahiran sehingga sampai skrotum melalui kanalis inguinalis (inguinal canal). Malah semasa dewasa selepas anjakan organ pembiakan, organ ini menerima bekalan saraf dan bekalan darah dari aota abdomen (Abdominal Aorta), yang mana terletak di antara tulang belakang dan tulang dada. Malah saluran limpa (lymphatic drainage) dan saluran nadi (venous return) melalui kawasan yang sama.

MANUSIA DIJADIKAN DARI NUTFAH (KUANTITI CECAIR YANG SANGAT SEDIKIT)
Al-Qur’an Al-Karim menyatakan tidak kurang dari sebelas kali bahawa manusia dicipta dari nutfah, yang mana bermaksud kuantiti cecair yang sangat sedikit atau satu titisan cecair yang tertinggal selepas sebuah cawan dikosongkan. Perkara ini dinyatakan dalam beberapa ayat Al-Qur’an termasuk Al-Hajj : 5 dan Al-Mu’minuun : 13, (juga pada ayat An-Nahl : 4, Al-Kahf : 37, Faathir : 11, Yaasiin : 77, Al-Mu’min : 67, An-Najm : 46, Al-Qiyaamah : 37, Al-Insaan : 2, dan ‘Abassa : 19 ).

Ilmu sains masakini telah membuktikan bahawa hanya satu sahaja daripada purata tiga juta sperma diperlukan untuk menyuburkan ovum. Ini bermakna 1/3,000,000 bahagian atau 0.00003% dari kuantiti sperma yang dikeluarkan perlu bagi penyuburan/permanian.

MANUSIA DIJADIKAN DARI SULALAH ( SARIPATI CECAIR)

ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِن سُلَالَةٍ مِّن مَّاء مَّهِينٍ
Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati dari air yang hina. ( As-Sajdah : 8 )

Perkataan Arab sulaalah bermaksud saripati atau bahagian yang terbaik antara kesemuanya. Kini kita semua mengetahui bahawa hanya satu sahaja spermatozoon dari berjuta yang dikeluarkan oleh seorang lelaki yang dapat menembusi ovum bagi tujuan penyuburan. Satu spermatozoon dari bilangan berjuta ini dinyatakan dalam Al-Qur’an sebagai sulaalah. Sulaalah juga bermaksud sari yang lembut dari suatu cecair.Cecair ini adalah cecair germinal bagi lelaki dan perempuan yang mengandungi gamet. Kedua-dua ovum dan sperma ini disaring dengan lembut dari persekitaran mereka dalam proses pernyuburan/permanian.

MANUSIA DIJADIKAN DARI NUTFATUN AMSHAAJ (CECAIR YANG BERCAMPUR )

Cuba perhatikan ayat Al-Qur’an yang berikut:

إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن نُّطْفَةٍ أَمْشَاجٍ
Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dari (setitis) mani (yang) bercampur-campur..( Al-Insaan : 2 )

Perkataan Arab nutfatin amshaajin bermaksud cecair-cecair yang bercampur. Mengikut sebahagian dari pentafsir Al-Qur’an, cecair-cecair yang bercampur ini adalah agen atau cecair dari lelaki dan perempuan. Selepas percampuran gamet dan gamet perempuan, zigot yang terhasil masih tetap sebagai nutfah. Cecair-cecair yang bercampur ini boleh juga dimaksudkan sebagai cecair sperma yang terhasil dari pelbagai perembesan yang datangnya dari pelbagai kelenjar.

Oleh itu perkataan nutfatin amshaaj iaitu suatu percampuran cecair-cecair yang sangat sedikit kuantitinya adalah merujuk kepada percampuran gamet lelaki dan perempuan (cecair-cecair atau sel-sel germinal ) dan ianya sebahagian dari cecair-cecair di persekitarannya.

Read more...

HADITH-HADITH LEMAH DAN PALSU-12

>> Thursday, January 28, 2010

DOA SENJATA ORANG BERIMAN

الدُّعَاءُ سِلاَحُ الْمُؤْمِنِ وَعِمَادُ الدِّيْنِ وَنُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
Maksudnya: Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya (bagi) langit dan bumi.

1) Periwayat-periwayat Hadith:

• Ibnu 'Adi
• Abu Ya'la
• al-Haa-kim

2) Darjat Hadith:

Palsu

3) Sebab-sebabnya:

• Didalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Muhammad bin al-Hasanal-Hamdaa-ni:
• Kata Ibnu Ma'ien: Ia tidak thiqah (kepercayaan). Beliau juga mengatakan Muhammad ini berbohong.
• Kata Abu Daud: Ia lemah. Juga beliau mengatakan Muhammad ini pembohong.
• Kata an-Nasaa-I dan al-Haithami: Ia matruk (ditinggalkan hadithnya).
• Kata Abu Haa-tim: Ia tidak kuat.
• Kata Ahmad, Ibnu Hibban, Ibnu Hajar: Ia lemah.
• Disamping itu sanad hadith ini juga terputus sebagaimana disebut oleh az-Zahabi didalam kitabnya Mii-zan al-I'tidal. Yaitu terputus antara 'Ali bin al-Husein dan datuknya 'Ali bin Abi Thoo-lib RA.



Daftar Rujukan:
1) al-Kaa-mil, 'Abdullah bin 'Adi.
2) Mii-zaan al-I'tidaa-l, Syamsuddin az-Zahabi.
3) Taqrii-b at-Tahzii-b, Ibnu Hajar al-'Asqalaa-ni.
4) Majma' az-Zawaa-id, Nuruddin al-Haithami.
5) al-Silsilah ad-Dho'iefah, Muhammad Naa-siruddin al-Albaa-ni.

Read more...

TAZKIRAH

>> Wednesday, January 27, 2010

JENIS-JENIS NIKMAT

Nikmat kurniaan Allah yang diperolehi dan dikecapi oleh kita semua hendaklah diberi perhatian serta dinilai dari masa ke semasa kerana ia terbahagi kepada beberapa jenis. Ini penting agar kita tidak merasakan bahawa kesenangan yang diterima itu semuanya nikmat yang baik walaupun dalam keadaan bermaksiat kepada Allah.

Justeru itu menjadi kewajipan penting untuk setiap muslim bersikap waspada dalam mengecapi sesuatu nikmat pemberian Allah dengan melihat didalam keadaan mana diri masing-masing berada. Taatkah, maksiatkah…………..

Nikmat pemberian Allah terbahagi tiga:

Pertama: Nikmat al- Jazaa-k ( الجزاء – Balasan ): Yaitu nikmat yang disegerakan oleh Allah didunia ini sebagai balasan atas ketaatan dan amalan soleh yang dilakukan sebelum dibalas dengan nikmat yang lebih besar diakhirat.

Kedua: Nikmat al-Balaa-k ( البلاء – Ujian ): Yaitu nikmat yang diberikan oleh Allah untuk menguji adakah dengan nikmat tersebut seseorang itu semakin dekat dan patuh kepada Allah atau beransur-ansur semakin jauh dariNya.

Ketiga: Nikmat al-Istidraa-j ( الإستدراج – Menipu daya ): Yaitu nikmat yang diperolehi oleh seseorang dalam keadaan ia bermaksiat dan derhaka kepada Allah.

Inilah tiga jenis nikmat yang berlegar disekitar kehidupan seharian kita. Sentiasalah bermuhasabah tentang kedudukan diri kita sendiri.

Read more...

KULIAH KITAB IMAN - Siri 2

>> Tuesday, January 26, 2010

Sambungan BAHAGIAN PERTAMA : TAUHID RUBUBIYYAH

Al-Qur’an menyebut Tauhid Rububiyyah di dalam beberapa maqam/kedudukan:
1. maqam pujian, (Al-Jaatsiyah: 36)
2. maqam penyerahan diri dan patuh kepadaNya, (Al-An’am:71)
3. maqam Tawajjuh kepada Allah dan mengikhlaskan niat kepadaNya,(Al-An’am:162)
4. maqam Wala’(setia/tempat pergantungan) kepada Allah, (Al-An’am:14)
5. maqam ibadat.(Al-A’raaf:54&55)

Al-Qur’an juga mencantumkan Rububiyyah Allah di segi milik dengan nama-namaNya yang elok dan sifat-sifatNya yang sempurna.(Al-Baqarah:255)

Allah menerangkan bahawa orang-orang musyrikin mengakui Allah adalah Pencipta segala sesuatu, tetapi menjadi musyrik kerana tidak mentauhidkan Allah pada UluhiyyahNya disebabkan mereka beribadat kepada yang lain. Dan mereka tidak mentauhidkan Allah pada nama-namaNya dan sifat-sifatNya hingga mereka mengengkari dan tidak beriman kepadaNya.(Yusuf:106).

Sila klik di sini untuk mengikuti kuliah di atas.

Read more...

KULIAH FIQH SUNNAH - Siri 4

Oleh Ustaz Ibrahim Mohd. Raja Al-Maniri

Sambungan BAB 1- BERSUCI . 1. Jenis-Jenis Air

iii. Air yang Bercampur dengan Benda Suci – contohnya air yang bercampur daun bidara, kapur barus. Hukumnya adalah suci lagi menyucikan selagi masih dapat mengekalkan identitinya sebagai air mutlak.

iv. Air yang Bercampur Najis – mempunyai 2 keadaan:
1. Najis merubah salah satu sifat air sama ada rasa, warna atau bau . Air ini tidak boleh digunakan untuk bersuci.
2. Air kekal dalam kemutlakannya i.e Najis tidak merubah salah satu sifat air sama ada rasa, warna atau bau. Hukumnya suci lagi menyucikan, sama ada kadar air itu banyak atau sedikit.

Pendapat-pendapat mazhab terbahagi 3:
1. Yang disepakati.
2. Khilaf tanawu’ – perbedaan dari segi jenis , masing-masing mempunyai dalil yang kuat, contohnya do’a iftitah.
3. Khilaf tadhod – bertentangan, contohnya kadar air 2 kolah, bersentuh lelaki & perempuan, jarak masa solat.

Untuk mengikuti kuliah ini, sila klik di sini.

Read more...

TAZKIRAH

>> Monday, January 25, 2010

ZIKIR SELEPAS SOLAT DENGAN SUARA PERLAHAN

Berkata Imam as-Syaa-fi'e di dalam kitabnya al-Umm (Jilid 2 mukasurat 288 cetakan pertama 1422H/2001M Daa-r al-Wafaa-k):

وأختار للإمام والمأموم أن يذكرا الله بعد الإنصراف من الصلاة ويخفيان الذكر إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه ثم يسر

Maksudnya: Dan aku memilih bagi imam dan makmum bahawa hendaklah berzikir selepas selesai dari solat dan hendaklah imam dan makmum memperlahankan zikir. Kecuali imam yang wajib dipelajari daripadanya maka dikuatkan zikir hingga apabila telah dilihat dipelajari daripadanya hendaklah ia (imam) memperlahankan (zikir).

Komentar as-Syaa-fi'e ini adalah kepada apa yang disebut oleh Ibnu Abbas RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh beliau sendiri di dalam al-Umm (juga diriwayatkan oleh al-Bukhaa-ri dan Muslim):

كنت أعرف انقضاء صلاة رسول الله (ص) بالتكبير

Maksudnya: Aku mengetahui selesainya solat Rasulullah SAW dengan takbir (dalam setengah riwayat: dengan zikir).

Kata Imam an-Nawawi (sebagaimana disebut oleh Imam Ibnu Hajar di dalam Fath al-Baa-ri jilid 2 mukasurat 379 cetakan pertama 1407H/1986M Daa-r ar-Rayyaa-n, al-Qaa-hirah):

حمل الشافعي هذا الحديث على أنهم جهروا به وقتا يسيرا لأجل تعليم صفة الذكر لا أنهم داموا على الجهر به , والمختار أن الإمام والمأموم يخفيان الذكر إلا إن احتيج إلى التعليم

Maksudnya: as-Syaa-fi'e meletakkan hadith ini bahawa mereka menguatkannya (zikir selepas solat) dalam tempoh masa yang sekejap kerana untuk mengajar sifat zikir, bukan mereka berterusan atas menguatkan suara dengannya. Dan yang terpilih bahawa imam dan makmum memperlahan zikir kecuali jika berhajat untuk mengajar.

Read more...

KULIAH KITAB IMAN - Siri 1

>> Sunday, January 24, 2010

Oleh Ustaz Ibrahim Mohd.Raja Al-Maniri

Mempelajari ilmu tauhid adalah fardhu ‘ain. Dengan tauhid manusia mengenal Allah dan membentuk akhlak mereka.

RUKUN IMAN
6 Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Kemudian dan Qada’ dan Qadar.
Tiada ijtihad dalam masalah aqidah, mesti bersandar kepada nas.

BERIMAN KEPADA ALLAH

Beriman kepada Allah bererti beriktikad dengan tegas bahawa:
1. Allah ialah “Rabb” yang memiliki dan mencipta segala-segalanya.
2. Dialah Tuhan yang berhak diibadatkan dengan ikhlas
3. Dialah Tuhan yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan suci bersih daripada segala kekurangan.
Mengandungi 3 bahagian:
1. Tauhid Rububiyyah
2. Tauhid Uluhiyyah
3. Tauhid Asma’ dan Sifat
Beriktikad dengan keEsaan Allah pada RububiyyahNya, UluhiyyahNya dan sifat-sifatNya yang sempurna dan nama-namaNya yang mulia.

BAHAGIAN PERTAMA: TAUHID RUBUBIYYAH
Beriktikad dengan tegas bahawa Allah adalah “Rabb/Pemilik” bagi segala sesuatu; KeEsaan Allah pada penciptaan, milikkan dan pentadbiran hidup makhluk.
Tauhid ini adalah asas bagi Tauhid bahagian lain, kerana pencipta, pemilik dan pentadbir sahajalah yang berhak ditujukan ibadat, patuh dan tunduk. Dan Dialah yang berhak menerima pujian, syukur, doa, harap, takut dll. Dialah yang berhak dengan sifat-sifat yang mulia dan sempurna, kerana sifat-sifat ini tidak layak melainkan bagi Allah yang menjadi “Rabbul ‘Alamin.”

Untuk mengikuti kuliah ini , sila klik di sini.

Read more...

AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN - Siri 13


TERJEMAHAN BUKU
AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN
Oleh : Zakir Naik

XI. EMBRIOLOGI

MANUSIA DIJADIKAN DARI ALAQ-BAHAN SEPERTI PACAT

Beberapa tahun yang lepas sekumpulan orang Arab telah mengumpulkan semua maklumat mengenai embriologi daripada Al-Qur’an, dan mengikuti arahan seperti yang dinyatakan dalam Al-Qur’an iaitu:

فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maka kamu tanyakan (kepada) ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui ( An-Nahl : 43 & Al-Anbiyaa’ : 7 )

Semua maklumat daripada Al-Qur’an yang dikumpulkan ini kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan dibentangkan kepada Prof.(Dr) Keith Moore, seorang profesor embriologi dan Pengerusi Jabatan Anatomi Universiti Toronto di Kanada. Pada masakini beliau adalah salah seorang pakar rujuk tersohor dalam bidang embriologi.

Beliau telah diminta memberikan pandangan mengenai maklumat yang terdapat dalam Al-Qur’an berkaitan bidang embriologi. Setelah mengkaji dengan teliti terjemahan ayat-ayat Al-Qur’an yang telah dibentang kepadanya, Dr. Moore menyatakan bahawa sebahagian besar maklumat mengenai embriologi yang terdapat dalam Al-Qur’an adalah menepati penemuan-penemuan moden dalam bidang embriologi dan tidak ada percanggahan langsung.Tambah beliau terdapat beberapa ayat di mana ketepatan saintifiknya belau tidak dapat memberi sebarang komen. Beliau tidak dapat mengesahkan sama ada penyataan tersebut benar atau tidak kerana beliau sendiri tidak menyedari kandungan maklumat tersebut. Juga maklumat ini tidak terdapat dalam penulisan-penulisan dan kajian-kajian moden di bidang embriologi.
Salah satunya ialah ayat Al-Qur’an yang berikut:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan kamu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah (Al-‘Alaq : 1 -2 )

Perkataan ‘alaq yang bermaksud segumpal darah, juga mempunyai maksud sesuatu yang menyangkut, menyerupai seekor pacat.

Dr. Keith Moore tidak mengetahui sama ada pada peringkat awal embrio menyerupai seekor pacat. Untuk memeriksa perkara ini beliau telah membuat kajian mengenai peringkat awal embrio dengan menggunakan mikroskop berkuasa tinggi dalam makmalnya dan membanding pemerhatian beliau dengan gambarajah seekor pacat, dan beliau merasa hairan bila mendapati bentuk kedua-keduanya menyerupai antara satu sama lain.

Dengan cara yang sama, beliau telah memperolehi lebih banyak maklumat mengenai embriologi yang tidak pernah beliau ketahui sebelum ini, daripada Al-Qur’an.

Dr. Keith Mooretelah berhasil menjawab kira-kira lapanpuluh soalan berkaitan data embriologi yang diterangkan dalam Al-Qur’an dan Hadis. Setelah mendapati maklumat-maklumat dalam Al-Qur’an dan Hadis ini menyamai sepenuhnya dengan penemuan-penemuan terkini dalam bidang embriologi, Prof. Moore menyatakan, “ Jika saya ditanya soalan-soalan ini tigapuluh tahun yang lalu, saya tidak akan berupaya menjawabnya sebahagian daripadanya kerana kekurangan maklumat saintifik”.

Dr, Keith Moore dahulunya pernah mengarang sebuah buku bertajuk ‘The Developing Human’. Setelah memperolehi pengetahuan baru dari Al-Qur’an, beliau telah menulis dalam tahun 1982 edisi ketiga buku yang sama. Buku ini telah menerima anugerah sebagai buku perubatan terbaik yang ditulis oleh hanya seorang pengarang. Buku ini telah diterjemah ke dalam beberapa bahasa utama di dunia dan ianya digunakan sebagai buku rujukan embriologi dalam pengajian tahun pertama bidang perubatan.

Dalam tahun 1981, ketika Persidangan Perubatan Ketujuh di Dammam, Arab Saudi, Dr. Moore berkata, “ Adalah satu penghormatan kepada saya kerana dapat membantu menerangkan penyataan-penyataan dalam Al-Qur’an mengenai pertumbuhan manusia. Adalah sahih pada saya bahawa penyataan-penyataan ini disampaikan kepada Muhammad S.A.W daripada Tuhannya iaitu Allah., kerana hampir kesemua pengetahuan ini telah tidak dapat ditemui sehinggalah ke beberapa abad selepas itu.Ini telah membuktikan kepada saya bahawa Muhammad S.A.W adalah seorang Rasul Tuhannya, iaitu Allah”. ( Penyataan beliau ini boleh dirujuk dalam pita video bertajuk ‘This is the Truth’. Salinan video ini boleh diperolehi daripada Islamic Research Foundation).

Dr. Joe Leigh Simpson, Pengerusi Jabatan Obstretrik dan Ginekologi, Kolej Perubatan Baylor, Houston, Amerika Syarikat, telah mengisytiharkan: “….Hadis-Hadis ini, yang disampaikan oleh Muhammad S.A.W tidak mungkin diperolehi dengan berdasarkan pengetahuan saintifik yang ada pada zaman penulisnya ( Abad Ketujuh). Malah bukan sahaja sahaja tidak terdapat sebarang percanggahan di antara genetik dan agama (Islam) tetapi juga agama (Islam) boleh menjadi panduan kepada ilmu sains dengan adanya pendedahan-pendedahan kepada sebahagian pendekatan-pendekatan saintifik tradisional……terdapatnya penyataan-penyataan dalam Al-Qur’an yang telah dibuktikan kebenarannya beberapa abad selepas itu, yang mana ini membuktikan bahawa pengetahuan dalam Al-Qur’an sebenarnya datang dari Tuhan.”

Read more...

KULIAH FIQH SUNNAH - Siri 3

>> Saturday, January 23, 2010


Oleh: Ustaz Ibrahim Mohd. Raja Al-Maniri

BAB 1 : BERSUCI
1. JENIS – JENIS AIR
i. Air Mutlak – Hukum air mutlak adalah suci lagi menyucikan i.e ianya suci pada dirinya dan boleh digunakan untuk bersuci dari najis dan hadas.
Air mutlak merangkumi:
1. Air hujan, salji dan air embun i.e air yang turun dari langit.
2. Air laut
3. Air zamzam, termasuk air perigi, air mata air & sungai i.e air yang terpancar dari bumi.
4. Air yang berubah disebabkan lama tergenang, tidak mengalir, atau bercampur dengan sesuatu yang tidak terpisah dengannya.
ii. Air Musta’mal – air yang telah digunakan untuk menyuci hadas. Hukumnya suci lagi menyucikan.
Untuk mengikuti kuliah ini, sila klik di sini

Read more...

HADITH-HADITH LEMAH DAN PALSU-11

>> Thursday, January 21, 2010

PERCAKAPAN DIDALAM MASJID

الكَلاَمُ الْمُبَاحُ فِي الْمَسْجِدِ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ

Maksudnya: Percakapan yang harus didalam masjid memakan (menghapus) pahala-pahala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.

1) Periwayat Hadith:

-          Tidak diketahui

2) Darjat Hadith:

-          Tiada asal baginya (Palsu).

3) Keterangan:

-          Kata al-'Allaa-mah as-Saffarii-ni didalam kitabnya Ghizaa-k al-Albaa-b: Ia (hadith diatas) adalah bohong, tiada asal baginya.


Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri


Daftar Rujukan:

1) al-Mashnu', 'Ali al-Qaa-ri.
2) al-Silsilah ad-Dho'iefah, Muhammad Naa-siruddin al-Albaa-ni.

Read more...

TAZKIRAH

>> Wednesday, January 20, 2010

ZIKIR PAGI DAN PETANG

Rasulullah SAW bersabda di dalam hadith riwayat Abu Daud, an-Nasaa-i, Ibnu Hibbaa-n:

مَنْ قَالَ ((رَضِيْتُ بِاللهِ رَبًّا وَبِاْلإِسْلاَمِ دِيْنًا وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا)) وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya: Barangsiapa mengucapkan:
رضيت بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد نبيا
wajib baginya syurga.


Keterangan:

  1. Makna zikir di atas ialah: "Aku redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad sebagai Nabi".
  2. Hadith di atas diletakkan oleh Imam an-Nasaa-i di dalam kitabnya 'Amal al-Yaum Wa al-Lailah di bawah bab yang berkaitan sesiapa yang menyebutnya ketika pagi dan petang.

Read more...

AL-QUR'AN DAN SAINS MODEN - Siri 12


TERJEMAHAN BUKU
AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN
Oleh : Zakir Naik


IX. PERUBATAN

MADU MEMPUNYAI KHASIAT PENYEMBUH
Lebah menghisap madu dari berbagai jenis bunga dan buah, lalu membentuk madu dalam tubuhnya, yang mana madu ini disimpan di dalam sel-sel lilin mereka. Hanya beberapa abad yang lalu manusia mula mengetahui madu datangnya dari perut lebah. Fakta ini telah dijelaskan di dalam Al-Qur’an 1,400 tahun yang lalu pada ayat yang berikut:

يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاء لِلنَّاسِ
Akan keluar dari perut-perutnya (lebah-lebah itu) minuman (madu) (yang) berbagai warnanya, di dalamnya (terdapat) penyembuh bagi manusia…. ( An-Nahl : 69 )

Kita sekarang telah mengetahui bahawa madu mempunyai khasiat penyembuhan dan antiseptik yang ringan. Orang-orang Russia menggunakan madu untuk menutup luka-luka mereka semasa Perang Dunia Kedua. Luka ini akan menahan kelembapan dan meninggalkan hanya sedikit tisu parut. Kepadatan madu juga menyebabkan tidak ada kulat atau bakteria membiak dalam luka tersebut.

Jika seseorang menghidapi alahan terhadap sesuatu jenis tumbuhan, Dia boleh diberi madu daripada tumbuhan itu supaya dapat membentuk ketahanan terhadap alahan tersebut. Madu sangat kaya dengan fruktos dan vitamin K.

Oleh itu kandungan pengetahuan di dalam Al-Qur’an mengenai madu, asal dan khasiatnyanya, telah lama ada sebelum ianya didedahkan kepada umum.

X. FISIOLOGI

PEREDARAN DARAH DAN PENGELUARAN SUSU
Al-Qur’an telah mendedahkan perkara ini 600 tahun sebelum saintis Islam Ibn Nafees menerangkan tentang peredaran darah dan 1,000 tahun sebelum William Harwey membawa pengetahuan ini ke dunia Barat. Kira-kira 13 abad sebelum diketahui proses yang berlaku dalam usus perut di mana organ-organ diberikan khasiat melalui proses penyerapan penghadaman, terdapat ayat dalam Al-Qur’an yang menjelaskan sumber kandungan susu, yang mana menerangkan perkara yang sama.

Untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an mengenai konsep di atas, perlu diketahui bahawa tindakbalas kimia berlaku dalam usus perut, dan di mana bahan-bahan yang dicerna dari makanan akan disalur ke saluran darah melalui sistem yang kompleks ; kadangkala melalui hati, bergantung kepada keadaan kimianya. Aliran darah akan membawa bahan-bahan ini ke seluruh organ-organ tubuh badan, termasuklah antaranya kelenjar mammary yang mengeluarkan susu.

Dalam bahasa yang mudah, kita dapat fahami bahawa bahan-bahan tertentu daripada kandungan usus perut meresap masuk melalui saluran-saluran di dinding usus perut, dan bahan-bahan ini kemudiannya di bawa oleh aliran darah ke pelbagai organ dalam tubuh badan.
Konsep ini perlu difahami sepenuhnya jika kita ingin memahami ayat Al-Qur’an yang berikut:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَآئِغًا لِلشَّارِبِينَ
Dan sesungguhnya bagi kamu di dalam binatang ternak itu benar-benar terdapat pengajaran, Kami memberi minum kalian dari apa yang (ada) di dalam perut-perutnya antara kotoran dan darah (berupa) susu yang murni/bersih (yang) mudah (masuknya) bagi orang-orang yang meminumnya. ( An-Nahl : 66 )

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُّسقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Dan sesungguhnya bagi kamu di dalam binatang ternak itu benar-benar terdapat pengajaran, Kami memberi minum kalian dari apa (air susu) yang (ada) dalam perut-perutnya dan bagi kamu di dalamnya berbagai menafaat yang banyak dan darinya (dagingnya) kamu makan ( Al-Mu’minuun : 21 )

Keterangan Al-Qur’an mengenai pengeluaran susu dalam tubuh lembu ini menyamai penemuan oleh ilmu fisiologi moden.

Read more...

HADITH-HADITH LEMAH DAN PALSU-10

ZIKIR SELEPAS SOLAT

إِنَّ فَاتِحَةَ اْلكِتَابِ وَآيَةَ الْكُرْسِيِّ وَاْلآيَتَيْنِ مِنْ آلِ عِمْرَانَ ((شهد الله أنه لا إله إلا هو والملائكة وأولوا العلم قائما بالقسط لا إله إلا هو العزيز الحكيم – إن الدين عند الله الإسلام)) و ((قل اللهم مالك الملك –إلى قوله- وترزق من تشاء بغير حساب)) مُعَلَّقَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ وَبَيْنَ اللهِ حِجَابٌ , فَقُلْنَ: يَا رَبِّ تُهْبِطُنَا إِلَى أَرْضِكَ وَإِلَى مَنْ يَعْصِيْكَ؟ قَالَ الله:ُ بِي حَلَفْتُ لاَ يَقْرَؤُهُنَّ أَحَدٌ مِنْ عِبَادِي دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ إِلاَّ جَعَلْتُ الْجَنَّةَ مَأْوَاهُ عَلَى مَا كَانَ فِيْهِ وَإِلاَّ أَسْكَنْتُهُ حَظِيْرَةَ اْلفِرْدَوْسِ وَإِلاَّ قَضَيْتُ لَهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعِيْنَ حَاجَةً أَدْنَاهَا الْمَغْفِرَةُ

Maksudnya: Sesungguhnya Surah al-Faa-tihah, Ayat al-Kursi (al-Baqarah ayat 255), dua ayat dari Surah Aalu 'Imraa-n iatu شهد الله أنه لا إله إلا هو hingga إن الدين عند الله الإسلام (ayat 18 dan 19) dan Surah Aalu 'Imraa-n ( ayat 26 dan 27) digantung (di Arasy), tiada sebarang hijab antara ayat-ayat tersebut dengan Allah. Maka berkata ayat-ayat tersebut: Wahai Tuhanku, Engkau turunkan kami ke bumiMu dan kepada sesiapa yang menderhakaiMu? Allah berfirman: Dengan kebesaranKu Aku bersumpah bahawa tiada seorang dari hamba-hambaKu yang membaca ayat-ayat tersebut pada setiap selesai solat (yakni solat 5 waktu) kecuali Aku jadikan syurga sebagai tempat kediamannya walau diatas keadaan mana ia berada, juga Aku akan tempatkannya ditengah-tengah Syurga Firdaus dan Aku tunaikan baginya setiap hari 70 hajat yang paling rendahnya ialah keampunan.


1) Periwayat-periwayat Hadith:

• Ibnu Hibbaa-n

• Ibnu as-Sunni

• Ibnu al-Jauzi


2) Darjat Hadith:

• Palsu

3) Sebabnya:

Didalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama al-Haa-rith bin 'Umair:

• Kata Ibnu Khuzaimah: al-Haa-rith pembohong.

• Kata Ibnu Hibbaa-n: Ia meriwayatkan dari perawi-perawi yang teguh/kepercayaan hadith- hadith palsu (dengan ditunggang terbalikkan hadith-hadith).

• Kata Ibnu Hibbaa-n seterusnya: Hadith ini palsu, tiada asal baginya (bukan bersumber dari
Nabi Muhammad SAW).

• Kata al-Azdi: Ia lemah, seorang yang munkar hadithnya.

• Kata az-Zahabi: Aku tidak dapatinya (al-Haa-rith ini) kecuali nyata/jelas kelemahannya.

• Kata Ibnu Hajar: Pada hadith-hadithnya banyak perkara-perkara munkar (menyalahi perawi yang kepercayaan).

Keterangan:

Adapun berwirid selepas solat dengan Ayat al-Kursi (al-Baqarah ayat 255) adalah thabit didalam riwayat lain. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat an-Nasaa-i, Ibnu as-Sunni, at-Thobaraa-ni:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ اْلكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُوْلِ الْجَنَّةِ إِلاَّ أَنْ يَمُوْتَ

Maksudnya: Barangsiapa membaca Ayat al-Kursi pada selesai setiap solat (5 waktu) tidak ada yang dapat menghalangnya dari masuk syurga kecuali ia mati.



Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri

Daftar Rujukan:

1) 'Amal al-Yaum Wa al-Lailah, Ahmad bin Syu'aib an-Nasaa-i.
2) 'Amal al-Yaum Wa al-Lailah, Ibnu as-Sunni.
3) al-Mu'jam al-Kabii-r, Sulaimaa-n bin Ahmad at-Thobaraa-ni.
4) al-Maudhuu-'aa-t, Abdur Rahman Ibnu al-Jauzi.
5) Mii-zaan al-I'tidaa-l, Syamsuddin az-Zahabi.
6) Taqrii-b at-Tahzii-b, Ibnu Hajar al-'Asqalaa-ni.
7) As-Silsilah ad-Dho'iefah, Muhammad Naa-siruddin al-Albaa-ni.

Read more...

Tazkirah

>> Sunday, January 17, 2010

BERDO'ALAH, TETAPI…………


Do'a merupakan antara ibadat penting yang diperintahkan. Didalam surah Ghaa-fir ayat 60 Allah SWT menekankan dua perkara kepada hamba-hambaNya mengenai do'a ini. FirmanNya:

وقال ربكم ادعوني أستجب لكم , إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan do'a permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada berdo'a kepadaKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.

Dua perkara dari ayat di atas ialah:

1) Perintah berdo'a kepadaNya dengan janji akan dimustajabkan.
2) Ancaman ke atas sesiapa yang sombong dari berdo'a kepadaNya.

Oleh itu berdo'alah, ajukan permohonan dan permintaan kepada Allah SWT dengan janjiNya bahawa akan dimustajabkan do'a kita. Bergantunglah kepada Allah, jangan sekali-kali merasakan diri kita hebat, kuat lalu meninggalkan berdo'a kepada Allah dengan perasaan sombong.

Berdo'alah wahai hamba-hamba Allah, tetapi……......hendaklah dengan suara yang perlahan:

1) Firman Allah SWT didalam surah al-A'raaf ayat 55:

ادعوا ربكم تضرعا وخفية , إنه لا يحب المعتدين

Maksudnya: Berdo'alah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan suara perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Keterangan: Berdo'a dengan suara yang kuat/keras digolongkan oleh Allah di dalam ayat di atas sebagai "melampaui batas". Oleh itu berhati-hatilah…………..

2) Allah memuji Nabi Zakaria AS yang berdo'a dengan suara yang perlahan. Firman Allah SWT didalam surah Maryam ayat 3:

إذ نادى ربه نداء خفيا
Maksudnya: (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdo'a kepada Tuhannya dengan do'a permohonan secara perlahan.

3) Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhaa-ri, Muslim:

أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا إِنَّ الَّذِي تَدْعُوْنَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ

Maksudnya: Wahai manusia, kasihanilah diri kamu kerana sesungguhnya kamu tidak menyeru Tuhan yang pekak dan ghaib (yang tidak mendengar dan mengetahui do'a kamu), sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu Maha Mendengar lagi dekat (dengan kamu).

Read more...

KULIAH FIQH SUNNAH - Siri 2

>> Saturday, January 16, 2010


Sambungan – Kaedah umum Tasyri’:

4. Permasaalahan yang diperselisihkan mestilah dikembalikan kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Ini disebabkan ajaran agama telah dihurai dengan lengkap dalam Al-Qur’an, dan diperjelaskan oleh Sunnah Amali, Ajaran Islam telah pun sempurna (Al-Maidah :3).
Kaedah-kaedah ini digunakan oleh para sahabat dan dan generasi salafussoleh yang berikutnya dalam menggali perundangan Islam. Perbedaan pendapat di kalangan mereka amat minimum, hanya disebabkan perbedaan peringkat kefahaman sesebuah nas.
Imam-imam Mazhab juga sedaya upaya memperkenalkan agama dan membimbing manusia ke jalan yang benar, tetapi pada waktu yang sama melarang bertaqlid kepada mereka. Tujuan mereka mengistinbath hukum untuk membantu umat Islam memahami hukum Islam dengan cara yang betul.

Fikrah Imam Shafi’e dalam mengambil ilmu:
Imam Shafi’e membahagikan tingkatan ilmu kepada 5 peringkat:
1. Al-Qur’an dan Sunnah
2. Ijma’ sahabat Nabi SAW – persepakatan ulama’ di kalangan sahabat.
3. Apa yang disebut oleh sebahagian sahabat-sahabat Nabi SAW yang tidak diketahui mereka berselisih tentangnya.
4. Jika ada perselisihan sahabat-sahabat Nabi SAW, Imam Shafi’e mendahulukan sahabat-sahabat utama di kalangan ahli ilmu.
5. Qias atas sebahagian peringkat di atas.

Jika ada hujah dalam Al-Qur’an dan Sunnah, maka tidak boleh berpaling.

Di dalam berhukum, tidak ada seorang ulama’ pun yang membolehkan berhujah dengan hadis yang lemah.

Taqlid:
Manusia terbahagi kepada 3 golongan:
1. Mujtahid – yang mempunyai keupayaan mengeluarkan hukum berdasarkan dalil.
2. Ahli ilmu – berkeupayaan menilai ilmu dan dalilnya.
3. Orang awam – memerlukan pembimbing.
Orang awam dibolehkan bertaqlid dengan 3 syarat:
1. Boleh mengikuti seseorang ulama’ dalam furu’/fiqh, tetapi tidak dalam aspek aqidah.
2. Hendak bertaqlid kepada ulama’ yang muktabar.
3. Jika diketahui salah atau tidak kuat, hendaklah ditinggalkan dan ikut yang lebih kuat.

Sila klik di sini untuk ikuti kuliah ini.

Read more...

AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN - Siri 11


TERJEMAHAN BUKU
AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN
Oleh : Zakir Naik

VIII. ZOOLOGI

SARANG/RUMAH LABAH-LABAH ADALAH RAPUH

Align Center
Al-Qur’an menjelaskan dalam Surah Al-‘Ankabuut:

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاء كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Perumpamaan (bagi) orang-orang yang mengambil/menjadikan selain dari Allah (sebagai) penolong mereka, umpama labah-labah yang membuat rumah/sarang (sebagai tempat berlindung) dan sesungguhnya rumah yang paling lemah di antara rumah-rumah lainnya (adalah) rumah/sarang labah-labah jika mereka mengetahui. (Al-‘Ankabuut : 41 )

Disamping menerangkan mengenai keadaan fizikal sarang labah-labah yang rapuh, halus dan lemah, Al-Qur’an juga menekankan kerapuhan perhubungan dalam rumah/sarang labah-labah tersebut, di mana labah-labah betina pada kebanyakan masanya akan membunuh pasangannya, iaitu labah-labah jantan.

CARA HIDUP DAN KOMUNIKASI SEMUT-SEMUT

Cuba perhatikan ayat Al-Qur’an yang berikut:

وَحُشِرَ لِسُلَيْمَانَ جُنُودُهُ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ وَالطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ . حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Dan dikumpulkan kepada Sulaiman para tenteranya dari jin dan manusia dan burung-burung maka mereka dibahagi-bahagikan/dibariskan dengan tertib. Sehingga ketika mereka sampai atas/di lembah semut, berkata seekor semut “wahai semut-semut masuklah kalian ke tempat tinggal/sarang-sarang kalian agar tidak dipijak (oleh) Sulaiman dan bala tenteranya”, sedangkan mereka tidak merasakan/menyedari(nya). (An-Naml : 17-18 )

Pada masa yang lalu mungkin ada orang yang akan mempersendakan Al-Qur’an, mengganggapnya sebuah buku cerita dongeng di mana semut-semut bercakap di antara satu sama lain dan berkomunikasi mesej-mesej yang canggih. Pada masakini penyelidekan menunjukan kepada kita beberapa fakta mengenai cara hidup semut-semut, yang mana tidak diketahui manusia di masa yang lalu. Penyelidekan menunjukkan binatang atau serangga yang paling hampir menyerupai cara hidup manusia adalah semut-semut. Ini boleh dilihat dari penemuan-penemuan berikut mengenai semut-semut:

(a) Semut-semut mengebumikan semut yang mati sepertimana manusia melakukannya.
(b) Mereka mempunyai sistem pembahagian tenagakerja yang canggih, di mana mereka mempunyai pengurus, penyelia, formen, pekerja dan lain-lain.
(c) Sekali sekala mereka bertemu sesama mereka untuk ‘berbual’.
(d) Mereka mempunyai kaedah komunikasi antara mereka yang agak maju.
(e) Mereka kerap mengadakan pasar-pasar di mana mereka bertukar barangan.
(f) Mereka menyimpan bijirin untuk tempoh yang panjang di musim sejuk; dan jika bijirin mula bertunas, mereka memotong akarnya seolah-olah mereka mengetahui jika dibiarkan tumbuh ia akan rosak. Jika bijirin yang disimpan ini basah akibat hujan, mereka akan mengangkutnya keluar ke cahaya matahari untuk dikeringkan. Setelah kering mereka membawanya kembali ke dalam se olah-olah mereka mengetahui bahawa kelembapan akan mengakibat pertumbuhan sistem akar dan seterusnya kerosakan bijirin.

Read more...

HADITH-HADITH LEMAH DAN PALSU - 9

>> Wednesday, January 13, 2010

THA'LABAH ( ثعلبة ) TIDAK MEMBAYAR ZAKAT

وَيْحَكَ يَا ثَعْلَبَةُ قَلِيْلٌ تُؤَدِّي شُكْرَهُ خَيْرٌ مِنْ كَثِيْرٍ لاَتُطِيْقُهُ

Maksudnya: Celakalah kamu wahai Tha'labah, sedikit (harta) yang membawa kamu bersyukur lebih baik dari banyak (harta) yang membawa kamu tidak mampu menanggungnya.

Keterangan:

·         Hadith ini kononnya mengenai seorang sahabat yang bernama Tha'labah bin Haa-thib al-Ansaa-ri yang tidak membayar zakat setelah ia meminta dari Nabi Muhammad SAW supaya mendoakannya menjadi kaya. Ia juga meninggalkan solat berjemaah dan seterusnya solat Jumaat setelah kambingnya membiak dalam jumlah yang banyak. Sampai kepada zaman pemerintahan Abu Bakar RA, Umar RA dan Uthman RA kesemua mereka enggan menerima zakat dari Tha'labah disebabkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah enggan menerima zakat daripadanya. Akhirnya Tha'labah mati dizaman pemerintahan Uthman RA.
·         Kemudian kisah Tha'labah ini juga dijadikan sebab turunnya ayat 75-77 Surah at-Taubah:

وَمِنْهُم مَّنْ عَاهَدَ اللّهَ لَئِنْ آتَانَا مِن فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ {75} فَلَمَّا آتَاهُم مِّن فَضْلِهِ بَخِلُواْ بِهِ وَتَوَلَّواْ وَّهُم مُّعْرِضُونَ {76} فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُواْ اللّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُواْ يَكْذِبُونَ {77}

1) Periwayat-periwayat Hadith:

·         at-Thobaraa-ni
·         al-Baihaqi
·         at-Thobari
·         al-Waa-hidi

2) Darjat Hadith:

·         Sangat Lemah

3) Sebab-sebabnya:

Didalam sanadnya terdapat dua orang perawi yang dipertikaikan:

1)  Mu'aa-n bin Rifaa-'ah as-Salaa-mi:

·         Kata Abu Haa-tim: Ditulis hadithnya tapi tidak boleh berhujjah dengannya.
·         Kata Ibnu Ma'ie-n: Ia lemah.
·         Kata Ibnu Hibban: Ia seorang yang munkar hadithnya.
·         Kata al-Azdi: Tidak boleh berhujjah dengannya.
·         Kata Ibnu Hajar: Ia seorang yang layyin hadithnya (Perawi yang layyin adalah perawi yang cedera/cacat tetapi tidak gugur dari tahap keadilan).
·         Kata Ibnu Hajar lagi: Ia banyak melakukan irsal (Mengugurkan perawi dari sanad hadith).

2) 'Ali bin Yazii-d al-Alhaa-ni:

·         Kata al-Bukhaa-ri: Ia seorang yang munkar hadithnya.
·         Kata an-Nasaa-i, ad-Daa-ruquthni, al-Haithami: Ia seorang yang ditinggalkan hadithnya (matruk).
·         Kata Abu Zur'ah: Ia tidak kuat.
·         Kata Abu Haa-tim: Ia seorang yang lemah hadithnya.
·         Kata Ibnu Hajar: Ia lemah.

Kelemahan hadith ini dikuatkan lagi oleh:

·         Ibnu Hazm al-Andalusi didalam kitabnya al-Muhalla: Kisah ini bathil tanpa syak. Dan Ibnu Hazm juga melemahkan dua orang perawi yang disebut diatas.
·         Zainuddin al-'Iraa-qi dalam saringannya keatas hadith-hadith didalam kitab Ihyak 'Ulum ad-Dien karangan Imam al-Ghazali dengan komentar bahawa sanad hadith ini dho'ief (lemah).
·         Ibnu Hajar didalam kitabya al-Kaa-fi Fi Takhrii-j Ahaa-dii-th al-Kasyaa-f: Isnadnya sangat lemah.

Kemudian terdapat beberapa perkara penting untuk diambil perhatian mengenai sahabat yang mulia ini Tha'labah bin Haa-thib al-Ansaa-ri RA:

1) Tha'labah merupakan ahli Badar (yang menyertai peperangan Badar):

·         Kata al-Qurthubi didalam Tafsirnya ketika menafsirkan ayat 75-77 Surah at-Taubah:

"Tha'labah adalah ahli Badar dari golongan Ansar dan termasuk dari kalangan orang yang dipersaksikan oleh Allah dan RasulNya dengan keimanan. Apa yang diriwayatkan mengenainya adalah tidak soheh"

·         Ibnu al-Athii-r didalam Usud al-Ghaa-bah, Ibnu 'Abd al-Bar didalam al-Istii-'aa-b, Ibnu Hajar didalam al-Ishoo-bah menjelaskan bahawa Tha'labah RA adalah ahli Badar.

2) Adalah tidak masuk akal bahawa sahabat yang mulia ini, yang dipersaksikan keimanannya oleh Allah dan Rasul melakukan perbuatan sedemikian dan sebegitu sekali kesudahan hidupnya:

·         Ahli Badar merupakan orang yang terpilih disisi Allah dan Rasul. Bertanya Jibrail kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana hadith riwayat al-Bukhaa-ri:

مَا تَعُدُّوْنَ أَهْلَ بَدْرٍ فِيْكُمْ؟ قَالَ: مِنْ أَفْضَلِ الْمُسْلِمِيْنَ

Maksudnya: Apakah perkiraan kamu semua keatas Ahli Badar dari kalangan kamu? Jawab Nabi SAW: Mereka adalah orang-orang Islam yang paling afdhal (utama).

·         Ahli Badar tidak akan sekali-kali masuk neraka. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad:

لَنْ يَدْخُلَ النَّارَ رَجُلٌ شَهِدَ بَدْرًا وَالْحُدَيْبِيَةَ

Maksudnya: Tidak akan masuk neraka lelaki yang menyaksikan peperangan Badar dan perjanjian al-Hudaibiyah.

·         Ahli Badar telah diampun dosa mereka oleh Allah SWT. Didalam hadith qudsi riwayat al-Bukhaa-ri, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi:

اعْمَلُوْا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

Maksudnya: Buatlah apa yang kamu sukai, sesungguhnya Aku telah ampun bagi kamu (dosa-dosa kamu).

3) Semestinya kisah sahabat yang mulia ini tidak dijadikan bahan cerita mengenai "kisah dan kesudahan buruk" sesiapa yang tidak mengeluarkan zakat setelah diketahui riwayatnya tidak benar kerana dibimbangi termasuk didalam mencela sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat at-Thobaraa-ni:

مَنْ سَبَّ أَصْحَابِي فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ

Maksudnya: Barangsiapa yang mencela sahabat-sahabatku maka keatasnya laknat Allah, malaikat-malaikat dan manusia seluruhnya.

Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri

Daftar Rujukan:
01) Tafsir al-Qurthubi, Muhammad bin Ahmad al-Qurthubi.
02) al-Musnad, Ahmad bin Muhammad bin Hanbal.
03) Soheh al-Bukhari, Muhammad bin Ismaa-'iil al-Bukkhaa-ri.
04) Soheh Muslim, Muslim bin al-Hajjaj.
05) Sunan Abu Daud, Sulaiman bin al-Ash'ath.
06) Sunan at-Tirmizi, Muhammad bin 'Ii-sa at-Tirmizi.
07) ad-Dhu'afaa-k as-Shoghie-r, Muhammad bin Ismaa-'iil al-Bukhaa-ri.
08) ad-Dhu'afaa-k Wa al-Matruu-kii-n, Ahmad bin Syu'aii-b an-Nasaa-i.
09) al-Jarh Wa at-Ta'dii-l, Ibnu Abi Haa-tim ar-Raa-zi.
10) al-Mu'jam al-Kabii-r, Sulaiman bi Ahmad at-Thobaraa-ni.
11) al-Muhalla, Ibnu Hazm al-Andalusi.
12) Mii-zaa-n al-I'tidaa-l, Syamsuddii-n az-Zahabi.
13) Tahzii-b at-Tahzii-b, Ibnu Hajar al-'Asqalaa-ni.
14) Taqrii-b at-Tahzii-b, Ibnu Hajar al-'Asqalaa-ni.
15) al-Kaa-fi, Ibnu Hajar al-'Asqalaa-ni.
16) asbab Nuzuu-l al-Quraa-n, 'Ali bin Ahmad al-Waa-hidi.
17) Majma' az-Zawaa-id, Nuu-ruddin al-Haithami.
18) as-Silsilah ad-Dho'iefah, Muhammad Naa-siruddin al-Albaa-ni.

Read more...

KULIAH KITAB FIQH SUNNAH - Siri 1


Muqaddimah
Kitab ini ditulis oleh As-Sayyid Sabiq atas permintaan Hassan Al-Banna. Penulisan kitab ini beraliran Ahli Hadis, dan tidak menjurus kepada mana-mana mazhab. Beliau berpegang kepada dalil Al-Qur'an dan Assunnah, serta ijmak terutama sahabat, disamping mengemukakan pandangan dan pendapat alim ulamak dan mazhab tertentu.

Pendahuluan - Tasyri' Islam Atau Ilmu Fiqh
Tasyri' Islam tulen seperti hukum-hakam ibadah bersumberkan wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi SAW sepertimana tercantum di dalam Al-Qur'an, Sunnah atau ijtihad yang diperakuinya.

Kaedah-kaedah umum Tasyri' Islam:
  1. Dilarang membahas hukum sesuatu peristiwa yang belum belaku sehingga ia benar-benar terjadi secara nyata.
  2. Menjauhi banyak bertanya dan memutarbelitkan permasaalahan sehingga menjadikanya sukar.
  3. Menghindari percanggahan dan perpecahan dalam soal agama.
  4. Permasaalahan yang diperselisihkan mestilah dikembalikan kepada Al-Qur'an dan Sunnah.
Untuk ikuti kuliah ini seterusnya sila ke sini

Read more...

AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN - Siri 10

TERJEMAHAN BUKU
AL-QUR’AN DAN SAINS MODEN
Oleh : Zakir Naik

VIII. ZOOLOGI

BINATANG DAN BURUNG HIDUP BERKOMUNITI

وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِي الأَرْضِ وَلاَ طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلاَّ أُمَمٌ أَمْثَالُكُم
Dan tidak (ada) dari (seekor) binatang pun (berjalan) di bumi dan tidak (seekor) burung pun (yang) terbang dengan kedua sayapnya melainkan (mereka ini) umat-umat seperti kalian. (Al-An’aam : 38 )

Kajian penyelidekan telah menunjukkan bahawa binatang-binatang dan burung-burung hidup berkomuniti, iaitu mereka mengatur, dan hidup dan bekerja bersama.

TERBANG PINDAH BURUNG-BURUNG

Al-Qur’an menerangkan mengenai burung-burung yang terbang pada ayat yang berikut:

أَلَمْ يَرَوْاْ إِلَى الطَّيْرِ مُسَخَّرَاتٍ فِي جَوِّ السَّمَاء مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلاَّ اللّهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Apakah tidak mereka melihat kepada burung-burung (yang) ditundukkan/diterbangkan di angkasa langit, tidak dapat menahan/memegang burung-burung itu kecuali Allah, sungguh pada demikian itu benar-benar (ada) tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang beriman ( An-Nahl : 79 )

Keterangan yang sama juga terdapat pada ayat Al-Qur’an yang berikut:

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَنُ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ
Dan apakah tidak mereka melihat kepada burung-burung di atas mereka yang mengembangkan sayapnya dan yang mengatup sayap sayapnya, tidak dapat menahan mereka kecuali Allah yang Mahaluas kasih sayangNya, sesungguhnya Dia terhadap setiap sesuatu (adalah) Maha Melihat . (Al-Mulk : 19 )

Perkataan Arab amsaka bermaksud dipegang, ditahan atau dikuasai, yang menerangkan bahawa Allah berkuasa ke atas burung-burung. Ayat-ayat ini menjelaskan betapa kuatnya kebergantungan dan kepatuhan kelakuan burung-burung semata-mata mengikuti perintah Allah. Data saintifik moden telah menunjukkan tahap pencapaian kesempurnaan dalam perancangan pergerakan oleh beberapa spesi burung tertentu. Keujudan perancangan perpindahan dalam kod genetik burung-burung ini telah menjelaskan bagaimana anak-anak burung, tanpa sebarang pengalaman terdahulu dan panduan, berjaya mengharungi perjalanan yang jauh dan rumit. Mereka juga berjaya kembali semula ke tempat asal perjalanan mereka pada suatu tarikh yang tertentu.

Prof. Hamburger dalam bukunya ‘Power and Fragility’ memberikan contoh ‘mutton bird’ yang hidup di kawasan Pasifik, membuat perjalanan melebehi 15,000 batu dalam bentuk nombor ‘8’. Burung ini membuat perjalanan dalam tempoh melebehi 6 bulan dan kembali semula ke tempat asal permulaannya dengan kelewatan maksimum selama satu minggu. Arahan paling rumit bagi perjalanan seperti itu perlu ada dalam sel-sel saraf burung-burung tersebut. Mereka tentulah telah diprogram. Tidakkah patut kita merenung siapakah ‘Perancang’nya?


LEBAH

وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ . ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلاً
Dan telah mengilhamkan Tuhan Penciptamu kepada lebah “hendaklah kamu buat di gunung-gunung rumah-rumah (sarang) dan di pohon dan dari apa-apa (tempat) yang manusia bangunkan. Kemudian makanlah (sari) dari tiap-tiap buah-buahan lalu tempuhlah jalan-jalan Tuhan Penciptamu yang telah ditundukkan (dimudahkan bagimu)…” (An-Nahl : 68 – 69 )

Von-Frisch telah menerima Hadiah Nobel pada tahun 1973 bagi penyelidekannya mengenai gelagat dan komunikasi lebah. Seekor lebah setelah menemui mana-mana taman atau bunga yang baru akan pulang dan memberitahu lebah-lebah yang lain mengenai arah dan peta tempat yang baru ditemui itu., yang mana dikenali sebagai ‘tarian lebah’ (bee dance). Makna-makna pergerakan-pergerakan serangga ini yang bertujuan menyampaikan maklumat di antara lebah-lebah pekerja (worker bees) telah ditemui secara saintifik dengan menggunakan fotografi dan lain-lain cara. Ayat-ayat Al-Qur’an di atas telah menjelaskan bagaimana lebah dengan kemahiran yang ada padanya menemui jalan luas terbentang dari Tuhannya.

Lebah pekerja atau lebah askar adalah lebah betina. Dalam Surah An-Nahl ayat 68 dan 69, perkataan yang digunakan bagi lebah adalah bagi jantina lebah betina ( fa’asluki dan kuli), dan ia menunjukkan bahawa lebah yang keluar dari sarangnya untuk mencari/mengumpulkan makanan adalah lebah betina. Oleh itu lebah pekerja atau lebah askar sebenarnya adalah lebah betina.

Dalam drama Shakespeare “Henry Keempat” , ada watak yang bercakap tentang lebah dan menyebut bahawa lebah tersebut adalah askar dan mereka mempunyai Raja. Mereka menganggap lebah pekerja adalah lebah jantan dan mereka kembali ke sarang dan bertanggungjawab kepada raja lebah.Tanggapan ini adalah salah. Lebah pekerja sebenarnya adalah lebah betina dan mereka tidak bertanggungjawab kepada raja lebah, sebaliknya kepada permaisuri lebah. Tetapi hanya penyelidekan moden pada 300 tahun yang lepas dapat menemui fakta ini.

Read more...

About This Blog

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP