TANDA-TANDA MATI BAIK (HUSNUL KHAA-TIMAH) - Bhg. 2
>> Tuesday, January 5, 2010
بسم الله الرحمن الرحيم
Samb. dari Bhg. 1
Keempatbelas: Mati kerana mempertahankan harta (kerana cuba di rampas).
Kelimabelas: Mati kerana mempertahankan Agama.
Keenambelas: Mati kerana mempertahankan jiwa/nyawa (sendiri atau ahli keluarga). Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasaa-i:
مَنْ قُتِلَ دُوْنَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُوْنَ دِيْنِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُوْنَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُوْنَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ
Maksudnya: Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid, barangsiapa yang mati kerana mempertahankan Agamanya maka dia syahid, barangsiapa yang mati kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) dia syahid dan barangsiapa yang mati kerana mempertahankan ahli keluarganya dia syahid.
Ketujuhbelas: Mati ketika berkawal/bertugas fisabilillah. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, an-Nasaa-i, al-Haa-kim, at-Thobaraa-ni:
رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ اْلفَنَّانَ
Maksudnya: Berkawal/bertugas sehari semalam (dalam riwayat Ahmad dan An-Nasai: pada jalan Allah) lebih baik daripada berpuasa sebulan dan mendirikan malamnya. Sekiranya ia mati, mengalir (berterusan) kepadanya pahala amalan yang telah dikerjakannya, berterusan rezekinya kepadanya dan ia aman (selamat) dari fitnah (disoal) malaikat Al-Munkar dan An-Nakir.
Kelapanbelas: Mati ketika mengerjakan amalan soleh. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad:
مَنْ قَالَ " لا إله إلا الله " ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ صَامَ يَوْمًا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
Maksudnya: Barangsiapa mengucapkan "لا إله إلا الله" kerana mengharapkan Wajah Allah (ikhlas semata-mata kerana Allah) lalu dimatikan ia dengannya, ia masuk syurga. Barangsiapa berpuasa sehari kerana mengharapkan Wajah Allah lalu dimatikan ia dengannya, ia masuk syurga. Dan barangsiapa yang bersedekah dengan satu sedekah kerana mengharapkan Wajah Allah lalu dimatikan ia dengannya, ia masuk syurga.
Kesembilanbelas: Mati di al-Madinah (kota tempat hijrah Nabi SAW). Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Maa-jah, Ibnu Hibbaa-n:
مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَمُوْتَ بِالْمَدِيْنَةِ فَلْيَمُتْ بِالْمَدِيْنَةِ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ مَاتَ بِهَا
Maksudnya: Barangsiapa dikalangan kamu yang mampu/dapat mati di Al-Madinah maka hendaklah ia mati di al-Madinah kerana sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati disitu.
Keduapuluh: Mati dibunuh oleh pemerintah yang zalim kerana berkata benar kepada mereka. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat al-Haa-kim:
سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ
Maksudnya: Penghulu orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Muttholib dan lelaki yang berdiri kepada imam/pemerintah yang zalim maka ia menyuruh dan menegahnya (pemerintah) lalu ia dibunuh.
Keterangan: Lelaki yang dibunuh oleh pemerintah yang zalim tadi tergolong didalam golongan penghulu orang-orang yang mati syahid sama seperti Hamzah RA.
SISIPAN:
Disamping memberi perhatian kepada tanda-tanda husnul-khaatimah, juga perlu diambil peringatan tentang perkara-perkara yang perlu ada pada diri seseorang ketika hampir mati. Terdapat 4 perkara, yaitu:
Pertama: Sabar atas ketetapan Allah yang menimpanya. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Muslim, al-Baihaqi yang menyebut mengenai orang beriman:
وَإِنْ أَصَابَهُ ضَرَّاء ُصَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: Dan sekiranya ia ditimpa kesukaran, ia bersabar maka itu adalah baik baginya.
Kedua: Harap ( الرَّجَاءُ). Maksudnya mengharapkan rahmat Allah.
Ketiga: Takut ( الْخَوْفُ). Maksudnya takut akan azab Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Kedua-dua perkara ini berdasarkan hadith riwayat at-Tirmizi, Ibnu Maa-jah dari Anas RA yang menceritakan:
أَنَّ النَّبِيَّ (ص) دَخَلَ عَلَى شَابٍّ وَهُوَ بِالْمَوْتِ فَقَالَ: كَيْفَ تَجِدُكَ؟ قَالَ: وَاللهِ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنِّي أَرْجُو الله َوَإِنِّي أَخَافُ ذُنُوْبِي. فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ (ص): لاَ يَجْتَمِعَانِ فِي قَلْبِ عَبْدٍ فِي مِثْلِ هَذَا الْمَوْطِنِ إِلاَّ أَعْطَاهُ الله ُمَا يَرْجُو وَآمَنَهُ مِمَّا يَخَافُ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW masuk keatas seorang pemuda yang sedang hampir mati lalu bersabda: Bagaimana kamu rasai? Jawabnya: Demi Allah ya Rasulullah, sesungguhnya aku mengharapkan (rahmat) Allah dan sesungguhnya aku takut akan dosa-dosaku. Maka Rasulullah SAW bersabda: Tidak berhimpun dua perkara ini (harap dan takut) didalam hati seorang hamba seperti dalam keadaan seperti ini kecuali Allah berikan apa yang ia harapkan dan memberi keamanan dari apa yang ia takuti.
Keempat: Bersangka baik terhadap Allah. Maksudnya Allah pasti mengasihi, merahmati, mengampuni kita. Ini berdasarkan perkhabaran dari Jabir RA yang mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda tiga hari sebelum kewafatan Baginda sebagaimana hadith riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, Ibnu Maa-jah:
لاَ يَمُوْتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ الظَّنَّ بِاللهِ
Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu mati melainkan hendaklah ia bersangka baik terhadap Allah.
Itulah empat perkara penting yang mesti wujud didalam diri seseorang ketika berada dipenghujung kehidupan ini. Sedarilah bahawa mati adalah "berpindah alam" yang berhajat kepada aqidah serta keimanan yang benar dan amalan soleh yang banyak sebagai bekalan untuk kealam seterusnya.
Disediakan oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja al-Maniri
Daftar Rujukan:
1) Al-Quran dan terjemahannya.
2) Kitab-kitab Hadith yang disebut periwayatannya diatas.
3) Syarah Soheh Muslim, Yahya bin Syaraf an-Nawawi.
4) Ahkam al-Janaa-iz, Muhammad Naa-siruddin al-Albaa-ni.
0 comments:
Post a Comment